
SIPITANG: Sabah Electricity bersama Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) iaitu agensi dalam Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia (PETRA) berjaya menyiapkan projek sambungtara talian grid penghantaran 275kV yang akan menjadi penghubung pertukaran tenaga elektrik antara Sabah dan Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Mohd Yaakob Jaafar berkata, pembinaan di bahagian Sabah siap pada bulan September 2024 dan pihaknya berharap sambungtara di bahagian Sarawak dapat disiapkan segera.
“Skop projek ini turut melibatkan pembinaan menara dan talian grid penghantaran voltan tinggi 275kV sejauh tujuh kilometer (km) iaitu daripada Pencawang Masuk Utama (PMU) Mengalong, Sipitang ke sempadan Sarawak.
“Apabila grid sambungtara Sabah ke Sarawak ini dimulatugas kelak, maka bekalan tenaga permulaan sebanyak 30MW akan dapat disalurkan setiap hari dan berpotensi untuk ditingkatkan sehingga 300MW,” katanya.
Beliau berkata, projek ini juga akan menjadikan Grid Penghantaran di Sabah sebagai ‘gateway’ untuk menyalurkan tenaga kepada negara jiran seperti Filipina dan Indonesia bagi merealisasikan Asean Power Grid Interconnection.
“Selain penyambungan tenaga antara Sabah dan Sarawak, Sabah Electricity turut terlibat dalam inisiatif ASEAN Power Grid Interconnection yang bertujuan memperluas rangkaian bekalan tenaga merentas sempadan.
“Projek ini merangkumi sambungan ke Filipina melalui Palawan, Lahad Datu ke Mindanao, serta penyambungan antara Tawau-Kalabakan ke Kalimantan Utara, Indonesia.
“Buat masa ini, sambungan ke Filipina masih di peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian lanjut antara kerajaan Malaysia dan Filipina. Namun, untuk sambungan Tawau ke Kalimantan Utara, kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) sedang giat dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, satu mesyuarat penting akan diadakan di Jakarta pada Khamis yang melibatkan tiga pihak iaitu Malaysia, Indonesia serta Sabah Electricity dan dipengerusikan oleh ASEAN Charter.
“Menurut perancangan, penyambungan grid antara Tawau dan Kalimantan Utara dijangka siap menjelang tahun 2030.
“Usaha ini selaras dengan komitmen Sabah Electricity dalam memastikan kestabilan tenaga yang mampan dan berdaya saing di peringkat serantau,” katanya.
Menurutnya, Sabah Electricity amat berterima kasih kepada PETRA yang meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi pelaksanaan projek ini dan semua jabatan serta agensi yang banyak membantu dalam menjayakan perlaksanaan projek ini.
Bercakap lanjut mengenai sambungtara di bahagian Sarawak beliau berkata, proses yang dilaksanakan pihak Sarawak Energy masih tertangguh berikutan halangan pembinaan di kawasan laluan talian penghantaran dari Northern Grid sehingga ke Lawas.
“Perancangan asal menjangkakan penyambungan terbabit siap pada tahun lalu, namun sehingga kini kerja-kerja pembinaan masih belum dapat diselesaikan.
“Insya-Allah, apabila sambungan ini disiapkan kelak di bawah Power Exchange Agreement perjanjian Sabah akan mengimport tenaga elektrik sebanyak 30MW sebagai permulaan dan jumlah ini berpotensi ditingkatkan sehingga maksimum 300MW sekiranya diperlukan,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa usaha ini penting bagi Sabah Electricity dalam meningkatkan rizab tenaga di negeri ini sekali gus menjamin kestabilan bekalan elektrik untuk pengguna.
Tambahnya lagi, sebahagian daripada keperluan tenaga tersebut akan disokong melalui penjanaan dalaman, manakala selebihnya melalui import dari Sarawak.


Leave feedback about this