Tempatan Utama

Projek Esteel cipta kesan rantaian perniagaan

KOTA KINABALU: Projek tiga fasa Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion akan  mencetuskan kesan rantaian yang meluas melangkaui teknologi hijau untuk merangsang  inovasi, memacu manfaat kepada perniagaan dan masyarakat di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata iprojek itu juga akan  mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan sahaja untuk  Sipitang tetapi juga untuk negeri secara amnya.

“Berkaitan dengan pekerjaan, saya ingin menekankan kepentingan memberi keutamaan kepada  rakyat Sabah. Saya mahu semua pemain industri melabur dalam latihan dan pembangunan  tenaga kerja tempatan kita dan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen  kita terhadap pembangunan tempatan.

“Usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita  mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri,”  katanya pada majlis pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel bernilai RM6.4 bilion di Pusat  Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seperti yang kita tahu, taman-taman perindustrian yang sedia ada iaitu Taman Industri Minyak  dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) telah menunjukkan  peningkatan pkadar penghunian dalam tempoh empat tahun yang lalu.

“Akibat permintaan yang tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga taman  industri baru di Kota Belud, Beaufort dan Kudat untuk Taman Industri Ekonomi Biru,” katanya.

Hajiji berkata pembangunan ini merupakan satu peerkembangan yang baik bagi Sabah dalam  meneruskan usaha meneroka potensi baru demi merealisasikan potensi penuh negeri ini.

“Saya telah menegaskan bahawa Sabah akan sentiasa mesra pelabur dan kami telah  melaksanakan dasar-dasar untuk menarik lebih ramai pelabur ke sini. Kami komited untuk  mewujudkan peersekitaran yang kondusif yang menyuburkan pelaburan dan memupuk  kerjasama.

“Kami memahami kepentingan mewujudkan suasana yang stabil, telus, dan menyokong agar  pelaburan dapat berkembang,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating