Tempatan Utama

Program Coffee Break perkukuh semangat kepimpinan belia di Ranau

RANAU: Usaha memperkukuh jaringan silaturahim dan memperkasakan semangat kepimpinan dalam kalangan belia diteruskan melalui penganjuran Program Coffee Break yang diadakan di Kampung Lingkudau, baru-baru ini.

Program anjuran komuniti belia dan beliawanis daerah Ranau dengan kerjasama Awan Coffee itu berlangsung dalam suasana santai namun sarat dengan nilai kepimpinan serta semangat kebersamaan.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang meluangkan masa bersama golongan muda dalam suasana mesra dan terbuka.

Ketua Belia Paginatan Adib Moin yang mempengerusikan program berkenaan berkata, penganjuran Coffee Break bertujuan membuka ruang wacana dua hala antara pemimpin dan belia supaya pandangan serta aspirasi generasi muda dapat disampaikan secara langsung.

“Belia perlu terus didorong untuk menerapkan disiplin, bersikap proaktif serta memainkan peranan aktif dalam komuniti selaras dengan keperluan pembangunan daerah dan negeri,” katanya.

Program itu turut dihadiri Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin yang sentiasa menunjukkan sokongan terhadap inisiatif pembangunan belia di peringkat akar umbi.

Dalam ucapannya, Masidi menyeru generasi muda di Ranau supaya terus memupuk semangat perpaduan, bijak menyantuni cabaran semasa dan mengambil peluang yang disediakan kerajaan dalam pelbagai sektor, khususnya pendidikan dan keusahawanan.

“Belia adalah aset penting negeri ini, jika mereka bersatu dan bergerak dengan arah yang jelas, masa depan Sabah akan lebih cerah,” katanya.

Kerjasama strategik dengan Awan Coffee juga dilihat sebagai usaha menggabungkan elemen keusahawanan belia dengan platform pembangunan komuniti, sekali gus memupuk budaya dialog santai yang produktif.

Program Coffee Break ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara pemimpin dan belia, malah menzahirkan komitmen kerajaan negeri dalam mendekati suara anak muda di kawasan luar bandar.

Dengan pendekatan santai tetapi bermakna, program seperti ini wajar diteruskan agar wacana belia tidak hanya terhad kepada ruang rasmi, tetapi lebih terbuka, mesra dan memberi impak kepada pembangunan belia di Sabah.

Leave feedback about this

  • Rating