Tempatan Utama

Polis Siasat Kes Buli Murid Perempuan Di Asrama Sekolah Tenom

TENOM: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang murid perempuan berusia 10 tahun yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekolah di daerah ini selepas video kejadian tular di media sosial.

Kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun lalu di asrama puteri sebuah sekolah rendah di pedalaman Tenom. Mangsa dilaporkan dipukul, ditendang dan ditarik rambut sehingga mengalami kecederaan pada muka serta kaki.

Ketua Polis Daerah Tenom, Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8 pagi Selasa sebelum membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun yang juga rakan sekelas serta tinggal di bilik asrama yang sama.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai terlanggar tali ampaian pakaian sehingga menyebabkan pakaian milik suspek jatuh ke tanah. Suspek kemudian bertindak memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawanya masuk ke dalam bilik asrama sebelum memukul, menendang serta menarik rambut mangsa berulang kali,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, dua lagi pelajar perempuan dipercayai merakam kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit milik suspek utama sebelum video itu dimuat naik ke status WhatsApp dua hari selepas insiden berlaku.

Setakat ini, tiga individu telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom bagi membantu siasatan, termasuk pelaku serta individu yang dipercayai terlibat dalam rakaman dan penyebaran video berkenaan.

Polis turut merampas beberapa barang kes termasuk telefon bimbit yang digunakan.
Mangsa telah dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala keterangan saksi dan pihak sekolah sedang dirakam.

Azmir menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk buli, keganasan serta penyebaran kandungan yang boleh mengaibkan atau mengancam mangsa, khususnya melibatkan kanak-kanak.

 

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula video kejadian kerana boleh menjejaskan siasatan serta memberi kesan kepada emosi dan kebajikan mangsa yang masih di bawah umur.

Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating