Utama

POLIS SEMPORNA TAHAN EMPAT SUSPEK KES CURI ENJIN BOT

Semporna-  Empat (4) lelaki berjaya ditahan yang disyaki terlibat dalam kes kecurian enjin bot di Sea Star Resort, Semporna.

Pemilik enjin bot berkenaan, seorang lelaki berbangsa Cina yang juga pengusaha resort tersebut, memaklumkan bahawa pada 27 Januari 2026 kira-kira jam 7.30 pagi, beliau menyedari sebuah enjin bot jenama Yamaha 15 kuasa kuda (hp) yang disimpan di dalam stor resort telah hilang dan dipercayai dicuri.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pada kira-kira jam 12.37 pagi, tiga (3) lelaki telah datang menggunakan sebuah bot kecil. Salah seorang daripada suspek kemudiannya masuk ke dalam stor sebelum melarikan sebuah enjin bot dengan menggunakan bot yang sama. Anggaran kerugian akibat kejadian tersebut dianggarkan bernilai RM7,500.00.

Menurut beliau lagi, susulan kejadian itu, pada 28 Januari 2026 kira-kira jam 10.55 malam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

Hasil daripada tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah bot kayu dan sebuah enjin bot 40 kuasa kuda (hp) jenama Yamaha. Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada penahanan tiga (3) lelaki lagi di Kampung Pulau Lumanggas, Semporna. Polis juga berjaya merampas sebuah enjin bot 15 kuasa kuda (hp) jenama Yamaha yang dipercayai berkaitan dengan kes berkenaan. Kesemua suspek didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga sepuluh (10) tahun serta denda.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Semporna menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited dalam membanteras jenayah harta benda dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa bekerjasama dengan pihak polis.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil.

 

 

Leave feedback about this

  • Rating