
KOTA KINABALU: Pembangunan Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu terus menjadi platform penting dalam penciptaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick berkata, POIC lahad Datu bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur bertaraf antarabangsa.
Katanya, ia juga berperanan dalam memberi keutamaan kepada penglibatan dan pembangunan tenaga kerja tempatan.
“Sehingga kini, sebanyak 43 syarikat pelabur beroperasi di POIC Lahad Datu dan mewujudkan 1,509 peluang pekerjaan.
“Daripada jumlah itu, seramai 1,246 orang adalah rakyat Sabah, dan 1,221 orang adalah penduduk tempatan Lahad Datu, manakala 13 orang adalah rakyat Malaysia dari negeri lain. Selebihnya, 250 orang adalah pekerja ekspatriat.
“Di samping itu, POIC Logistics Sdn Bhd yang menguruskan operasi logistik di kawasan POIC, turut menggaji 96 orang kakitangan, kesemuanya adalah rakyat Sabah, dengan 90 orang daripadanya adalah anak tempatan Lahad Datu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Mohammad Yusof Apdal (WARISAN-Silam) semasa ucapan penggulungan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Ewon berkata, sebahagian besar peluang pekerjaan di POIC Lahad Datu dimanfaatkan oleh rakyat Sabah, khususnya penduduk setempat.
Sehubungan itu katanya, POIC Lahad Datu turut berfungsi sebagai platform penting dalam penciptaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Bagi memperkukuhkan lagi usaha ini, kementerian saya menyokong sepenuhnya cadangan untuk menjalin kerjasama strategik bagi penubuhan institusi latihan atau pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di daerah Lahad Datu.
“Penubuhan pusat latihan ini akan membolehkan latihan teknikal dan kemahiran disesuaikan secara langsung dengan keperluan industri di POIC, termasuk sektor logistik, pembuatan, pemprosesan, tenaga dan industri berkaitan.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran anak tempatan, malah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja luar dan ekspatriat dalam jangka panjang,” jelasnya.


Leave feedback about this