Tempatan Utama

Pilih Kursus Ikut Keperluan Industri, Bukan Sekadar Minat – Masidi

Pilih Bidang Berpermintaan Tinggi, TVET Jamin Masa Depan Belia – Masidi

RANAU: Pelajar disaran memilih bidang pengajian yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kursus kemahiran yang semakin diperlukan oleh industri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, institusi seperti politeknik dan kolej kemahiran kini menawarkan prospek kerjaya yang cerah dengan peluang pekerjaan yang lebih luas.

Menurut beliau, pelajar perlu bijak membuat pilihan berdasarkan keperluan pasaran kerja dan potensi menjana pendapatan, bukan sekadar memilih bidang yang mudah dipelajari tetapi sukar memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Bidang teknikal dan kemahiran yang ditawarkan di politeknik serta institusi latihan kemahiran kini semakin mendapat permintaan tinggi daripada industri. Kemahiran yang dipelajari bukan sahaja membuka peluang pekerjaan, malah boleh menjadi asas untuk menceburi bidang keusahawanan serta membina perniagaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Ke-20 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau pada Khamis.

Masidi turut mengingatkan golongan belia agar tidak terlalu memilih pekerjaan, sebaliknya berani memulakan kerjaya dan merebut setiap peluang yang ada.

“Jangan malu memulakan sesuatu pekerjaan kerana setiap kejayaan bermula dengan kesungguhan, disiplin dan kerja keras. Dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif, sikap rajin, berusaha serta sanggup memikul tanggungjawab lebih penting daripada terlalu memilih jenis pekerjaan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan belia supaya berani merantau selepas tamat pengajian bagi menimba pengalaman, memperluaskan pendedahan serta meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri.

Pada masa sama, Masidi menyeru ibu bapa agar memainkan peranan lebih aktif dalam pendidikan anak-anak dengan menghadiri program sekolah dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Katanya, kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah penting bagi memastikan kebajikan, perkembangan sahsiah serta kecemerlangan akademik pelajar sentiasa terpelihara.

Beliau juga mengingatkan pelajar supaya sentiasa menghargai jasa ibu bapa serta mengekalkan budaya berdikari dan rajin bekerja yang menjadi identiti masyarakat Sabah.

Dalam majlis tersebut, seramai 315 pelajar dan guru menerima pelbagai pengiktirafan melibatkan pencapaian SPM 2025, STPM 2025 serta STPM Semester 1. Daripada jumlah itu, 15 pelajar SPM dan empat pelajar STPM menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Terbaik atas pencapaian akademik yang membanggakan, selain penyampaian Anugerah Panitia kepada guru-guru yang berjaya membimbing pelajar mencapai keputusan cemerlang.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating