Tempatan Utama

Piala Mayor Ke-72 Cungkil Bakat Baharu Tinju Sabah

KOTA KINABALU: Kejohanan Tinju Seluruh Sabah Ke-72 Piala Mayor terus menjadi medan penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat baharu sukan tinju negeri, selaras komitmen Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) memperkasa pembangunan atlet dari peringkat akar umbi.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kementerian sedang meneliti keperluan meningkatkan geran tahunan kepada persatuan sukan berkaitan bagi memperkukuh program pembangunan atlet serta memperluaskan peluang latihan dan pertandingan di seluruh negeri.

Beliau berkata, pembangunan sukan perlu melibatkan semua daerah termasuk kawasan luar bandar bagi memastikan bakat berpotensi tidak tercicir dan diberikan peluang untuk berkembang.

Menurutnya, kejohanan berprestij itu bukan sahaja menjadi platform mengenal pasti atlet berbakat untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, malah membantu memperkukuh kesinambungan pembangunan sukan tinju Sabah.

“Bakat besar tidak semestinya lahir dari tempat yang besar. Ramai atlet cemerlang muncul daripada daerah-daerah kecil hasil disiplin, ketekunan dan semangat juang yang tinggi,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan kejohanan tersebut.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Tinju Negeri Sabah yang diterajui oleh Orlando Harumal atas usaha berterusan memajukan sukan tinju di Sabah.

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan 24 pasukan melibatkan 153 atlet, jurulatih dan pengurus dari seluruh Sabah, sekali gus membuktikan sukan tinju terus mendapat sambutan serta menjadi platform melahirkan pelapis atlet negeri.

Leave feedback about this

  • Rating