Tempatan Utama

Petinju Muda Sabah Borong Enam Pingat di Kejohanan Sibu

KKBC Bawa Pulang Enam Pingat Harumkan Nama Sabah

SIBU: Kinabalu Knight Boxing Club (KKBC) mengharumkan nama Sabah apabila membawa pulang enam pingat pada Kejohanan Tinju Bakat dan Remaja Sibu Peringkat Kebangsaan Edisi Ke-2 dan Jemputan Antarabangsa 2026 yang berlangsung di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Sibu, Sarawak, dari 27 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Kejohanan itu menghimpunkan seramai 198 petinju muda dari seluruh Malaysia serta pasukan jemputan dari Singapura dan Indonesia. Ia dianjurkan oleh Persatuan Tinju Bahagian Sibu dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KKBC yang merupakan sebahagian daripada Program Pelapis Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah menamatkan saingan dengan kutipan dua pingat emas, tiga pingat perak dan satu pingat gangsa.

Dua pingat emas disumbangkan oleh Shariffah Farhain Abdullah, 16, dari SMK Perempuan Likas dan Nur Shameena Jimru, 15, dari SM All Saints. Kedua-duanya mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatat kemenangan menerusi technical knockout (TKO) dalam perlawanan akhir.

Sementara itu, tiga pingat perak dimenangi oleh Aidil Aiman Arman, 16, dari SMK Tebobon; Zill Qayyim Muhamad Hafiz, 14, dari Maktab Sabah; serta Nur Qhalisha Airyn Mohd Azmi, 13, dari SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF).

Seorang lagi petinju KKBC, Muhammad Karleed Qusyairie Mohd Azmi, 14, dari SM Lok Yuk Kota Kinabalu (CF), melengkapkan pencapaian pasukan apabila meraih pingat gangsa.

Kejayaan tersebut menyaksikan kesemua enam petinju yang dihantar oleh KKBC berjaya membawa pulang pingat, sekali gus membuktikan potensi besar barisan pelapis tinju Sabah di peringkat kebangsaan.

KKBC dipimpin oleh Presidennya, Adzlin Ganis Apat, manakala Khairul Azim Nasser bertindak sebagai Naib Presiden merangkap jurulatih kelab.

Pencapaian itu bukan sahaja mengharumkan nama KKBC dan Sabah, malah menjadi petanda positif terhadap pembangunan sukan tinju negeri dalam melahirkan lebih ramai atlet berpotensi untuk bersaing di pentas kebangsaan serta antarabangsa.

Leave feedback about this

  • Rating