Tempatan Utama

Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS) Gesa Kuota BUDI Diesel Sabah Dinaikkan

AWS: Sabah Wajar Diberi Keistimewaan Kenaikan Kuota BUDI MADANI Diesel

KOTA KINABALU– Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS) menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan peningkatan kuota subsidi BUDI MADANI Diesel bagi Sabah dengan mengambil kira realiti geografi, keluasan negeri serta keperluan sebenar rakyat.

Presiden AWS, Marlina Madjid, berkata Sabah mempunyai keluasan yang jauh lebih besar berbanding kebanyakan negeri lain di Malaysia, manakala jarak perjalanan antara daerah dan kawasan pedalaman memerlukan penggunaan diesel yang lebih tinggi.

Beliau berkata, kenderaan pikap merupakan pengangkutan utama rakyat Sabah dan menjadi nadi kepada aktiviti ekonomi harian, khususnya bagi petani, pekebun, nelayan, peniaga kecil, kontraktor serta penduduk luar bandar.

“Di Sabah, pikap bukan sekadar kenderaan persendirian, malah menjadi aset penting untuk mengangkut hasil pertanian, barangan, peralatan kerja dan keperluan harian. Oleh itu, pelaksanaan BUDI MADANI Diesel perlu mengambil kira realiti kehidupan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Marlina, sektor pertanian, perikanan, pembinaan, pengangkutan dan perusahaan kecil di Sabah masih bergantung kepada diesel untuk meneruskan operasi harian.

Beliau turut menjelaskan bahawa ramai penduduk di kawasan pedalaman menggunakan diesel bagi menggerakkan bot, generator dan pelbagai peralatan kerja berikutan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan pengangkutan masih terhad di sesetengah kawasan.

Katanya, peningkatan kos diesel akan memberi kesan langsung kepada kos operasi, sekali gus mengurangkan pendapatan rakyat dan meningkatkan kos sara hidup.

“Sabah mempunyai keadaan yang berbeza daripada negeri-negeri lain. Kekurangan pengangkutan awam menyebabkan rakyat bergantung kepada kenderaan sendiri untuk bergerak dan mencari rezeki. Oleh itu, penentuan kuota subsidi diesel tidak seharusnya dibuat berdasarkan jumlah penggunaan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keluasan negeri, jarak perjalanan dan corak kehidupan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, AWS berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan keistimewaan kepada Sabah melalui peningkatan kuota BUDI MADANI Diesel demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara serta kelangsungan ekonomi luar bandar tidak terjejas.

Leave feedback about this

  • Rating