
TUARAN: Penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak adalah sesuai dengan kehendak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, perkara itu juga seperti yang termaktub di dalam MA63 di mana Sabah dan Sarawak sekurang-kurangnya mempunyai satu pertiga bilangan kerusi di Parlimen.
Beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju untuk menambah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.
“Ya, ini sudah semestinya yang ditunggu-tunggu oleh Sabah dan Sarawak untuk kita mendapatkan bilangan kerusi Parlimen tambahan.
“Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang agak besar dan wajar diberi pertimbangan yang khas untuk kita tambah kerusi Parlimen ini,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui selepas pertemuan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah di Kampung Lok Batik hari ini.
Menurutnya, pertambahan kerusi turut diperlukan memandangkan kawasan-kawasan Parlimen di Sabah turut mengalami peningkatan penduduk.
Katanya, seperti di Kinabatangan yang sebesar Pahang tetapi hanya satu kerusi Parlimen begitu juga dengan Tuaran yang lebih besar daripada Perlis tetapi hanya mempunyai satu kerusi Parlimen.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri,” katanya.
Sumber Utusan Borneo


Leave feedback about this