Tempatan Utama

‘Perlu infrastruktur asas lebih baik untuk sokong pelaburan’

Selain penyediaan kemudahan asas seperti elektrik, air dan infrastruktur, bahan ekonomi strategik seperti simen dan keluli juga menjadi penentu kejayaan atau kegagalan sesebuah wilayah.

 

KOTA KINABALU: Terdapat keperluan bagi kerajaan untuk menyediakan, menambah baik dan menyelenggara infrastruktur asas yang diperlukan untuk menyokong pelaburan (sama ada tempatan atau asing) ke dalam negeri, menurut Pengarah Makin Teguh Sdn Bhd Dato Awang Ahmad.

Makin Teguh Sdn Bhd dan Borneo Oil Bhd, adalah dua syarikat berpangkalan di Sabah yang bertanggungjawab membina Loji Pembuatan Klinker dan Simen Bersepadu (ICCMP) pertama di Sabah, kira-kira 27km dari Lahad Datu yang mula beroperasi pada September tahun ini.

Pengeluaran klinker dan simen tempatan di Lahad Datu dijangka menurunkan harga simen di pantai timur Sabah.

“Walaupun telah banyak melabur dalam tenaga elektrik dan infrastruktur, gangguan elektrik yang berterusan masih menjadi isu bersama dengan kos penyelenggaraan infrastruktur yang tinggi,” kata Awang Ahmad dalam kenyataan, di sini, Sabtu.

Beliau berkata dari pelaksanaan projek ini, walaupun pelesenan dan insentif kerajaan disediakan dengan cekap, terdapat keperluan drastik bagi kerajaan untuk menyediakan, menambah baik dan menyelenggara infrastruktur asas untuk menyokong pelaburan ke dalam negeri.

“Jika tidak, ini akan mengakibatkan kos yang lebih tinggi dan tidak dijangka, yang akan menghalang pelabur yang bercita-cita tinggi,” katanya.

Beliau berkata banyak perbincangan dibuat mengenai pembangunan dan pelaburan di Sabah, tetapi pada masa sama, keadaan kritikal bekalan elektrik, air dan kemudahan infrastruktur lain perlu dinilai secara serius untuk memahami dan menangani keperluan pelabur tulen.

“Blok binaan asas bagi mana-mana ekonomi mesti ada untuk menarik minat pelabur.

“Blok binaan asas ini secara amnya mungkin terdiri daripada infrastruktur asas, keperluan tenaga, ketersediaan bahan mentah, modal insan, akses kepada pasaran dan dasar kerajaan yang mesra pelabur.

“Selain penyediaan kemudahan asas seperti elektrik, air dan infrastruktur, bahan ekonomi strategik seperti simen dan keluli juga menjadi penentu kejayaan atau kegagalan sesebuah wilayah,” katanya.

Terdahulu dalam satu kenyataan, beliau berkata ICCMP Lahad Datu memulakan pembinaan pada 2017 dan berdepan pelbagai isu utama seperti keperluan infrastruktur dan tenaga yang perlu dibina atas dasar pembiayaan swasta sepenuhnya tanpa bantuan daripada kerajaan.

Katanya, ekoran lokasi loji itu, dan pelbagai kos infrastruktur yang terpaksa ditambah ke atas kos keseluruhan, banyak institusi kewangan tidak mahu membiayai projek terbabit ketika itu.

Bagaimanapun, seorang taikun Sabah (Tan Sri CK Lau dari Kumpulan Hap Seng), melihat projek itu sebagai langkah pertama yang penting ke arah membina Industri Baharu yang paling penting untuk Sabah.

“Jadi, melalui cabang subsidiari, pembiayaan projek disediakan oleh Hap Seng,” kata Awang Ahmad.

Kompleks Pemprosesan Batu Kapur Bersepadu Lahad Datu terdiri daripada operasi kuari yang merangkumi penghancuran agregat batu kapur, serbuk batu kapur, pembuatan klinker, simen, konkrit dan produk kapur lain.

Semua infrastruktur (jalan 27km, jambatan dan lintasan sungai), termasuk pembinaan talian bekalan elektrik (lebih 40km) telah dibina oleh Kumpulan itu.

Kumpulan itu juga membelanjakan modal yang besar untuk menaik taraf jalan masuk dan pembinaan jambatan yang juga memberi manfaat kepada semua pekebun kecil di sekeliling dan masyarakat setempat.

Leave feedback about this

  • Rating