Tempatan Utama

Pergaduhan di Bazar Ramadan Sabindo, Lapan Lelaki Ditahan Polis

TAWAU, 7 Mac – Polis menahan lapan lelaki dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan yang mencetuskan kekecohan di kawasan Bazar Ramadan Sabindo Plaza, Tawau, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kejadian itu dikesan selepas satu video berdurasi kira-kira 20 saat memaparkan sekumpulan lelaki saling bergaduh tular dalam aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan kegusaran orang awam.

Menurutnya, bertindak atas maklumat dan video yang tular, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan operasi sebelum menahan lima lelaki kira-kira jam 9 malam di tepi Jalan Taman Kuhara Jaya.

“Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas seutas rantai motosikal yang telah diubah suai yang dipercayai digunakan semasa pergaduhan,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara dua kumpulan lelaki sebelum tercetus pergaduhan sehingga mengganggu ketenteraman orang awam di kawasan bazar berkenaan.

Tidak lama kemudian, polis berjaya menahan tiga lagi lelaki kira-kira jam 9.30 malam di hadapan sebuah premis di Kampung Batu 2, Jalan Apas yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut.

Kesemua suspek terdiri daripada warganegara tempatan dan seorang warga asing berusia antara 17 hingga 34 tahun.
Hasil semakan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Polis memandang serius kejadian pergaduhan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, khususnya di kawasan tumpuan ramai.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang pergaduhan atau provokasi kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Leave feedback about this

  • Rating