
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib menerima kunjungan hormat daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) hari ini dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik pembangunan pendidikan negeri.
Delegasi SPP diketuai oleh Adzman Talib, bersama Md. Radzi Hashim, Nuinda Haji Alias, Intan Zainab Mohd. Bustan serta pegawai lain.
Dalam sesi taklimat, SPP memaklumkan bahawa tahap pengisian guru di Sabah kini telah mencapai 98.22 peratus, sekali gus memastikan kelancaran operasi sekolah di seluruh negeri.
Lebih membanggakan, sebanyak 86.75 peratus daripada jumlah tersebut merupakan anak Sabah, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa bakat tempatan serta membina kekuatan sumber manusia pendidikan dari dalam negeri sendiri.
Perkembangan itu mencerminkan keberkesanan penyelarasan dasar serta komitmen berterusan antara kerajaan negeri dan SPP dalam memastikan keperluan tenaga pengajar sentiasa mencukupi dan berkualiti.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pengurusan perkhidmatan pendidikan, termasuk pelantikan dan penempatan guru serta keperluan memperkukuh bidang kritikal yang menyokong agenda sains, teknologi dan inovasi Sabah.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan di bawah kepimpinan James dalam memastikan sektor pendidikan negeri terus diperkasa sebagai asas utama pembangunan modal insan.
Penekanan terhadap pembangunan bakat tempatan dan penguasaan bidang strategik dilihat sebagai langkah penting dalam menyediakan generasi masa depan Sabah yang lebih berdaya saing.
SPP turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong keperluan Sabah melalui pengurusan sumber manusia pendidikan yang efisien dan responsif.
Lawatan ini juga memperkukuh penyelarasan antara peringkat persekutuan dan negeri bagi memastikan sistem pendidikan Sabah terus maju, inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian, Hassan Mahali.


Leave feedback about this