
Program Rebat Budi Madani 2026 Kembali, Peminjam Yayasan Sabah Nikmati Rebat Sehingga 30%
KOTA KINABALU: Peminjam Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah sekali lagi berpeluang menikmati rebat sehingga 30 peratus menerusi Program Rebat Budi Madani 2026 yang berlangsung bermula 6 hingga 26 Ogos.
Program khas anjuran Kumpulan Yayasan Sabah itu bertujuan menghargai peminjam yang komited membuat bayaran balik pinjaman, di samping menggalakkan budaya pembayaran yang mampan demi memastikan kelestarian dana tajaan pengajian.
Tiga kategori rebat ditawarkan sepanjang program berkenaan. Peminjam dalam kategori Aktif Bayar yang melunaskan keseluruhan baki pinjaman layak menerima rebat 30 peratus, manakala peminjam lain yang menyelesaikan baki pinjaman sepenuhnya ditawarkan rebat 25 peratus. Bagi pembayaran secara ansuran biasa pula, peminjam layak menikmati rebat 20 peratus.
Menurut Yayasan Sabah, program yang diperkenalkan tahun lalu berjaya merekodkan kutipan pembayaran balik pinjaman tertinggi sejak penubuhannya, iaitu sebanyak RM8 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif tersebut.
Sebagai tambahan, Yayasan Sabah turut memperkenalkan Program Pengampunan CTOS, yang membolehkan peminjam ingkar memohon agar nama mereka dikeluarkan daripada senarai CTOS dengan membuat bayaran tunggakan dalam jumlah yang munasabah.
Bagi memudahkan urusan peminjam, kaunter khas akan dibuka melalui siri jelajah di beberapa lokasi termasuk SICC dan Lintasan Deasoka di Kota Kinabalu, selain Papar serta Kota Belud sepanjang tempoh program.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah, Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088.


Leave feedback about this