Tempatan Utama

Pelancongan Sabah Jana RM14.4 Bilion, Sumbang 12.3 Peratus Kepada Ekonomi Negeri

Pelancongan Sabah Jana RM14.4 Bilion, Sumbang 12.3 Peratus Kepada Ekonomi Negeri

KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah menjana nilai ditambah sebanyak RM14.4 bilion pada 2025, meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menyumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin berkata, sumbangan itu meningkat berbanding 11.9 peratus yang direkodkan pada 2024.

Menurutnya, pencapaian berkenaan membuktikan sektor pelancongan kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta penjanaan peluang pekerjaan di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penerbitan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2025 yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Berdasarkan laporan DOSM, perdagangan runcit merupakan penyumbang terbesar kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) dengan 45.6 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman sebanyak 30 peratus.

Selain itu, penggunaan pelancongan dalaman meningkat 14.2 peratus kepada RM13.4 bilion pada 2025 berbanding RM11.7 bilion pada 2024.

Perbelanjaan pelancongan inbound pula meningkat 20.8 peratus kepada RM7.5 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik bertambah 6.8 peratus kepada RM5.9 bilion.

Lebih signifikan, industri berkaitan pelancongan turut menyediakan pekerjaan kepada 415,100 orang pada 2025, meningkat 7.1 peratus berbanding 387,600 orang pada tahun sebelumnya.

Jafry berkata, hampir satu daripada setiap empat individu yang bekerja di Sabah terlibat dalam industri berkaitan pelancongan, sekali gus membuktikan kepentingan sektor itu sebagai sumber pendapatan dan mata pencarian rakyat.

Katanya, data berkenaan akan menjadi rujukan penting kepada KePKAS dalam merangka strategi pembangunan pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pertumbuhan industri pelancongan Sabah terus mampan, berdaya saing dan inklusif supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat tempatan.

Leave feedback about this

  • Rating