Tempatan Utama

PATI Terus Diburu, 91 Ditahan Dalam Operasi Imigresen Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 91 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di daerah Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan Ranau bagi membanteras Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Dalam operasi di Kota Kinabalu yang melibatkan Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip, seramai 151 individu diperiksa dengan 46 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah dan melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Tangkapan di Kota Kinabalu membabitkan 43 warga Filipina terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 18 wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, selain dua lelaki warga Indonesia serta seorang lelaki warga Pakistan.

Di Kudat, Ops Sapu yang dijalankan memeriksa 46 individu dan menahan sembilan warga Filipina melibatkan seorang lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan empat kanak-kanak lelaki.

Sementara itu, operasi bersepadu di Tawau bersama Jabatan Pengangkutan Jalan dan Agensi Antidadah Kebangsaan memeriksa 159 individu. Hasil operasi itu, 23 warga asing ditahan terdiri daripada 12 warga Filipina dan 11 warga Indonesia.

Di Ranau pula, Ops Sapu yang dijalankan memeriksa 17 individu dan menahan 13 warga asing, melibatkan tujuh lelaki warga Filipina serta enam warga Indonesia termasuk dua lelaki dewasa, dua wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah memaklumkan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara.

Leave feedback about this

  • Rating