Tempatan Utama

Orang Ramai Diminta Waspada Tawaran Palsu Guna Nama SSMJ

KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) menafikan sebarang penglibatan dalam tawaran program, kursus atau jemputan menghadiri “Global Women Business 2026” yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp, mesej peribadi atau saluran tidak rasmi lain.

Dalam kenyataan media rasmi yang dikeluarkan hari ini, SSMJ menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang tawaran rasmi berkaitan program berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sebarang mesej, panggilan atau jemputan yang menggunakan nama pegawai, wakil atau Sekretariat Sabah Maju Jaya tanpa pengesahan rasmi adalah palsu dan tidak sah.

Orang awam turut dinasihatkan agar tidak memberikan maklumat peribadi, menghadiri program yang meragukan atau membuat sebarang pembayaran kepada pihak yang tidak dikenali berdasarkan mesej diterima.

SSMJ memaklumkan semua maklumat, jemputan program dan hebahan rasmi hanya akan disalurkan melalui saluran komunikasi yang diiktiraf termasuk laman web rasmi, media sosial rasmi atau surat jemputan bertulis.

Sehubungan itu, orang ramai yang menerima mesej mencurigakan berkaitan perkara berkenaan digalakkan membuat semakan lanjut atau melaporkannya kepada ibu pejabat SSMJ di talian 013-8969473 atau pihak berkuasa berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Leave feedback about this

  • Rating