
KOTA KINABALU: Seramai 207 pendatang asing tanpa izin (PTI) melibatkan 192 warga Indonesia dan 15 warga Filipina dihantar pulang ke negara asal dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.
Kesemua tahanan berusia antara satu bulan hingga 63 tahun itu terdiri daripada 134 lelaki dewasa, 41 wanita dewasa serta 32 kanak-kanak.
Menurut kenyataan JIM Sabah, semua individu terbabit telah selesai menjalani hukuman sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan menggunakan dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.
“Tindakan diambil berdasarkan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, melibatkan individu yang masuk tanpa permit sah serta tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
Operasi penghantaran pulang dilaksanakan secara berperingkat mengikut prosedur ditetapkan.
Sehingga kini, seramai 1,838 warga asing telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui pintu masuk di Sabah.
JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus diperkasa tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen.
“Tindakan tegas turut dikenakan terhadap majikan atau pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah.
“Langkah ini penting bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengawal kehadiran warga asing di negeri ini,” katanya.
Pada masa sama, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat di lokasi yang dikenal pasti menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen.
Kerjasama pelbagai agensi turut dipertingkat bagi memastikan operasi berjalan lancar dan berkesan, dengan pendekatan bersepadu sebagai strategi utama membanteras isu PTI di Sabah.
Orang ramai turut disaran menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa dokumen sah, dengan setiap maklumat akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya.


Leave feedback about this