
PENAMPANG: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menahan empat individu tempatan selepas didapati positif dadah dalam Op Pusat Hiburan yang dijalankan awal pagi tadi.
Operasi yang diketuai ASP Bakar Jasa itu melibatkan pemeriksaan ke atas dua premis hiburan di sekitar daerah Penampang bagi membanteras penyalahgunaan dadah serta memastikan premis mematuhi undang-undang ditetapkan.
Sepanjang operasi dijalankan, seramai 28 individu menjalani ujian saringan air kencing dan hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki serta seorang wanita berusia antara 19 hingga 30 tahun positif dadah jenis methamphetamine (METH) dan tetrahydrocannabinol (THC).
Kesemua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan sendiri.
Ketua Polis Daerah Penampang, Sammy Newton berkata, operasi seumpama itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah selain memastikan pusat hiburan mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
Beliau turut menyeru masyarakat agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyalahgunaan dadah bagi membantu pihak polis menjaga keselamatan serta kesejahteraan komuniti.
“Rumah kita, kita jaga. Daerah kita, kita lindungi bersama,” katanya.


Leave feedback about this