
KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan pentadbiran universiti yang sekali lagi membenarkan penganjuran Sabah Motor Day (SMD) di dalam kawasan kampus.
MPP berkata, walaupun universiti sentiasa terbuka kepada pelbagai program, setiap acara perlu dinilai secara teliti agar selaras dengan fungsi kampus sebagai institusi pendidikan serta tidak menjejaskan kesejahteraan warga universiti.
Menurut MPP, pengalaman penganjuran sebelum ini menimbulkan beberapa isu termasuk dakwaan gangguan seksual, pembuangan sampah tidak terkawal, pencemaran bunyi dan udara yang seharusnya dijadikan pertimbangan sebelum kelulusan diberikan.
MPP turut menyuarakan kebimbangan kerana acara itu diadakan hampir dengan kemasukan pelajar baharu dan Minggu Suai Mesra (MSM), sekali gus berpotensi mengganggu persiapan universiti serta memberi kesan kepada persekitaran kampus.
Bagaimanapun, MPP menegaskan bantahan mereka bukan terhadap objektif Sabah Motor Day yang mempromosikan keselamatan jalan raya dan kesedaran anti-dadah, sebaliknya mempersoalkan kesesuaian lokasi serta waktu penganjurannya.
Sehubungan itu, MPP menggesa pihak pengurusan UMS mengkaji semula keputusan tersebut, melibatkan mahasiswa secara lebih telus dalam perbincangan penggunaan ruang universiti, serta mengutamakan aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan seluruh warga kampus.
Sabah Today News


Leave feedback about this