Tempatan Utama

Mahkamah Anak Negeri Tongod Simbol Komitmen Kerajaan

TONGOD: Perasmian Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod hari ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh institusi adat sebagai asas penting dalam menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan budaya di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, Mahkamah Anak Negeri memainkan peranan besar dalam menyelesaikan pertikaian adat, memelihara perpaduan komuniti serta menjadi penghubung penting antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus menambah baik sistem pentadbiran adat termasuk memperkukuh struktur institusi, memperjelas bidang kuasa serta memastikan pengurusan yang lebih moden, teratur dan berkesan selaras dengan keperluan semasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan seluruh warga Mahkamah Anak Negeri yang terus memainkan peranan penting dalam memelihara keharmonian dan kestabilan sosial di negeri ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata Tongod mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan ekopelancongan termasuk kawasan Imbak Canyon yang terkenal dengan keindahan alam semula jadinya.

Katanya, dengan pembangunan yang terancang, Tongod berpotensi berkembang sebagai antara kawasan penting di pedalaman Sabah selaras agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Leave feedback about this

  • Rating