Tempatan Utama

LRA Kogopon, Loji Muka Sauk Kabang Perkukuh Bekalan Air Papar, Putatan dan Kimanis

PAPAR: Bekalan air di Papar, Putatan dan Kimanis dijangka menjadi lebih stabil apabila Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon berkapasiti 80 juta liter sehari (MLD) dan Loji Muka Sauk Kabang mula beroperasi masing-masing pada November dan Ogos tahun ini.

 

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedua-dua projek itu dijangka membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk di tiga kawasan berkenaan.

 

Beliau mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah supaya memantau rapat pelaksanaan projek berkenaan serta memastikan ia disiapkan tanpa sebarang kelewatan.

 

“Jadilah lebih proaktif dalam menangani isu kekurangan bekalan air dengan menghantar lori tangki air ke kawasan terjejas, bukan sahaja di sini tetapi di seluruh negeri.

 

“Masalah bekalan air adalah isu legasi, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita komited untuk menyelesaikannya,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai kedua-dua projek itu di Langkah Syabas Resort, di sini, hari ini.

 

Menurut Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh, LRA Kogopon bernilai RM365.9 juta dijadual mula membekalkan air terawat menjelang akhir November, walaupun keseluruhan projek hanya dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

 

Sementara itu, projek Loji Muka Sauk Kabang bernilai RM39.73 juta kini mencapai 90 peratus kemajuan dan dijangka ditauliahkan pada September ini.

 

Kemudahan muka sauk baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengambilan air mentah daripada sembilan juta liter sehari kepada 30 juta liter sehari, selain mengatasi masalah kemasinan yang sering menjejaskan operasi loji sedia ada di kawasan Limbahau.

 

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.

Leave feedback about this

  • Rating