
TAWAU – Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan polis selepas disyaki mencuri pakaian dalam wanita yang dijemur di sebuah rumah di Kampung Haji Matahir, awal bulan ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, mangsa berusia 47 tahun membuat laporan di Balai Polis Bombalai selepas menyedari beberapa helai pakaian dalam milik isterinya yang dijemur di luar rumah hilang.
Susulan laporan itu, polis menjalankan risikan sebelum menahan suspek kira-kira jam 10.30 malam semalam di hadapan sebuah rumah di Kampung Haji Matahir.
Hasil soal siasat, suspek membawa polis ke lokasi barang kes. Polis kemudian merampas beberapa helai pakaian dalam wanita, selain sehelai baju hijau dan sebuah songkok hitam yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
Siasatan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Polis menasihatkan orang ramai supaya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan kediaman dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi membantu membanteras jenayah.


Leave feedback about this