
KOTA KINABALU: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah akibat melecur ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumah flat didiaminya terbakar di sebuah taman perumahan di Kolombong, di sini.
Mangsa berumur 54 tahun itu melecur hampir keseluruhan badan dan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth II (HQE2).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.49 tengah malam.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati sebuah rumah flat di tingkat dua terbakar 20 peratus.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera,” katanya ketika dihubungi.
Agustavia berkata, terdapat seorang mangsa lelaki melecur 80 peratus ketika cuba menyelamatkan diri daripada kebakaran.
“Mangsa seterusnya dihantar ke HQE2 untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 1.42 pagi,” katanya.


Leave feedback about this