
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang untuk membina lebih banyak perumahan kos rendah yang mampu milik untuk B40 di seluruh Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan negeri melalui agensi pelaksana Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sedang melaksanakan pembinaan perumahan kos rendah sebanyak 225 unit di lima lokasi strategik.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini berkata, pembinaan itu melibatkan 50 unit masing-masing di Kemabong, Sukau, Melalap, dan Pitas manakala, 25 unit di Beluran.
Menurutnya, kesemua kos pembinaan perumahan berkenaan melalui biayaan sepenuhnya daripada kerajaan negeri.
“Rumah akan dijual kepada golongan B40 yang berpendapatan rendah dengan harga RM47,000 seunit,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Suhaimi Nasir (ADUN Dilantik) mengenai perancangan kerajaan negeri bagi membina lebih banyak perumahan kos rendah yang mampu milik untuk B40 di seluruh Sabah.
Joachim berkata, kerajaan negeri melalui LPPB juga merancang untuk membina lebih banyak lagi rumah kos rendah bagi golongan B40 dalam RMK13 biayaan kerajaan negeri.
Katanya, usaha itu kini di peringkat penyemakan serta kelulusan oleh pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib menjelaskan, pelaksanaan Projek Naik Taraf Pusat Jantung Sabah kini dalam fasa penyediaan dokumen ‘Schedule of Accommodation’ (SOA) dan ‘Preliminaries Detailed Abstract’ (PDA) daripada agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKRM).
Menurutnya, JKRM melawat tapak ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) II pada 22 hingga 23 Januari 2025 untuk membuat semakan skop kerja serta tinjauan tapak projek.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alias Sani (WARISAN-Sekong) mengenai status Pusat Jantung Sabah yang diluluskan Perdana Menteri.


Leave feedback about this