Tempatan Utama

Krismas: Sebuah simfoni perpaduan

SEHARI selepas Krismas, laman media sosial terus dibanjiri kemeriahan sambutan di sana-sini.

Kunjungan rumah terbuka, hiasan pokok Krismas, Santa Klaus dan kotak-kotak hadiah menjadi pameran status warga maya yang meraikannya.

Di laman sosial facebook, saya turut berpantun: `Buat kapal kayu gaharu, bawa muatan sampai ke hulu; Selamat Natal dan Tahun Baharu, semoga sihat dan gembira selalu’.

Rata-rata reaksi, komen dan tanda suka pengikut mewakili berbagai latar belakang, bangsa dan anutan. Juga dari bermacam aliran politik — sekali gus memberi gambaran keindahan Krismas di Sabah, Negeri di Bawah Bayu yang kaya dengan keindahan alam dan kepelbagaian budaya.

Sejak sekian lama, Sabah sentiasa memancarkan sinar harmoni dalam perbezaan.

Dengan lebih 40 suku kaum dan sub-etnik, Sabah menjadi contoh dan rujukan bahawa kepelbagaian bukan penghalang untuk perpaduan, malah ia adalah kunci kekuatan yang menjadikan negeri ini istimewa.

Sambutan Krismas menjadi satu daripada simbol yang menyatukan seluruh lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan bahasa.

Demikian juga mesej disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor dalam perutusan Krismas 2024 — bersatu meraikan kepelbagaian dan kepercayaan.

Beliau mahu rakyat negeri ini terus bersama-sama sebagai satu masyarakat bersatu dalam meraikan kepelbagaian dan kepercayaan.

Dalam masa sama juga, katanya, kerajaan negeri terus komited untuk memastikan perpaduan rakyat dan kestabilan politik sentiasa kekal supaya pertumbuhan ekonomi akan terus membangun.

“Bersempena perayaan Krismas ini, saya berharap agar kita semua akan terus lebih komited dengan sikap toleransi dan bersatu padu.

“Dalam semangat Krismas ini juga, marilah kita meluangkan sedikit masa merenung persamaan yang selama ini menyatukan rakyat dan kekal fokus untuk mengukuhkan nilai-nilai ini,” katanya.

Hakikatnya, Krismas di Sabah bukan sahaja satu perayaan agama bagi penganut Kristian, tetapi juga satu tradisi yang disambut bersama oleh masyarakat pelbagai kaum.

Penganut Kristian pelbagai denominasi di Sabah yang terdiri daripada bermacam suku kaum, menyambut Krismas dengan penuh semangat, namun yang lebih penting adalah bagaimana suasana meriah Krismas turut dikongsi oleh mereka yang beragama Islam, Buddha, atau agama-agama lain.

Sambutan ini menjadi jambatan yang menghubungkan semua warga Sabah dalam semangat persaudaraan dan kesatuan.

Kepelbagaian suku kaum di Sabah sering kali dipandang sebagai satu cabaran dalam usaha mencapai perpaduan, namun ia telah terbukti menjadi aset yang memperkaya budaya dan warisan negeri ini.

Setiap suku mempunyai adat resam, bahasa, dan tradisi yang unik, namun pada hari Krismas, semua perbezaan ini dicairkan dalam satu tujuan mulia, iaitu meraikan kasih sayang dan keharmonian.

Rumah-rumah terbuka yang dianjurkan pada musim perayaan ini bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi hidangan, tetapi juga sebagai ruang untuk saling memahami dan menghargai antara satu sama lain.

Inilah manifestasi bahawa perbezaan bukanlah pemisah, tetapi pemangkin kepada keharmonian.

Melalui sambutan Krismas yang meriah, setiap lapisan masyarakat di Sabah diajak untuk bersatu dalam kebahagiaan.

Lagu-lagu Krismas yang dinyanyikan di gereja-gereja dan rumah-rumah, mengalunkan simfoni perpaduan yang melibatkan semua orang.

Seperti pohon Krismas yang dihiasi pelbagai warna, begitu juga masyarakat Sabah yang berbeza latar belakangnya, namun tetap mekar dalam ikatan kasih yang indah.

Dan seperti pelangi yang terbentuk selepas hujan, Sabah mengajar kita bahawa di sebalik kepelbagaian yang tampak berbeza, terdapat sinar cahaya yang menyatukan.

Krismas adalah manifestasi daripada cahaya itu, yang menerangi setiap hati dengan penuh rasa cinta kasih dan saling menghormati.

Sebagai sebuah negeri yang harmoni, Sabah terus mengorak langkah menuju `Sabah Maju Jaya’ di mana semua lapisan rakyat, tanpa mengira suku, agama, atau bangsa, hidup dalam semangat persaudaraan yang abadi.

Leave feedback about this

  • Rating