Tempatan Utama

KPDN Tawau, PGA Rampas Diesel Dan Tugboat Bernilai RM3.5 Juta

Tajuk:

TAWAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau terus memperhebat tindakan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di daerah ini dan kawasan perairan sekitarnya.

Dalam operasi bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau pada 22 Mei lalu, pihak berkuasa berjaya merampas sebanyak 3,300 liter minyak diesel di kawasan Kampung Merotai, Jalan Pitas, dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah bot “skow”, sebuah bot tunda jenis tugboat, lapan tong drum berisi diesel, gulung hos sepanjang lima meter serta sebuah pam air 5hp yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengangkutan minyak berkenaan.

Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM16,401 manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk barangan bukan kawalan mencecah RM3.5 juta.

Susulan itu, KPDN Tawau membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut.
KPDN turut memberi amaran keras kepada individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan dan subsidi kerajaan.

Menurut KPDN, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, selain berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

KPDN menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain dalam membanteras penyelewengan barang kawalan demi memastikan ketirisan subsidi dapat dibendung.

Leave feedback about this

  • Rating