
Kos Penerbangan, Operasi Meningkat Jejas Kehadiran Pelancong ke Semporna
SEMPORNA: Peningkatan kos penerbangan dan operasi yang semakin ketara didakwa menjadi antara faktor utama kemerosotan kehadiran pelancong ke Semporna sejak kebelakangan ini.
Setiausaha Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna (PUSPABUMI), Anyrishah Mohd Shah, berkata tambang penerbangan ke Semporna kini meningkat hampir dua kali ganda berbanding sebelum ini, sekali gus memberi tekanan kepada industri pelancongan tempatan.
Menurutnya, peningkatan kos domestik turut menjejaskan keseluruhan rantaian industri, termasuk kos operasi yang perlu ditanggung oleh pengusaha pelancongan.
Katanya, majoriti pengusaha masih bergantung kepada diesel dan petrol bagi menggerakkan operasi pengangkutan laut, bot serta perkhidmatan berkaitan.
“Walaupun berdepan peningkatan kos penerbangan dan operasi, pengusaha bumiputera di Semporna masih berusaha mengekalkan harga pakej pelancongan supaya tidak membebankan pelancong, terutama ketika kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa semakin mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.
Anyrishah berkata, PUSPABUMI sebelum ini telah mengemukakan rayuan kepada kerajaan berhubung subsidi diesel berikutan kebergantungan tinggi pengusaha pelancongan terhadap bahan api tersebut.
Beliau berkata, peningkatan kos bahan api memberi kesan langsung kepada kos operasi, khususnya bagi pengusaha yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan laut ke pulau-pulau dan destinasi pelancongan sekitar Semporna.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap cabaran yang dihadapi pengusaha pelancongan, khususnya pengusaha bumiputera, bagi memastikan kelangsungan industri yang menjadi antara sumber ekonomi utama masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan mempergiatkan kempen promosi dan keselamatan pelancongan bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk terus memilih Semporna sebagai destinasi pelancongan.
Menurutnya, aspek keselamatan dan promosi perlu diperkukuhkan agar setiap perbelanjaan yang dikeluarkan pelancong untuk berkunjung ke Semporna berbaloi dengan pengalaman serta jaminan keselamatan yang diterima.
“PUSPABUMI kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkukuh industri pelancongan Semporna demi manfaat semua pihak,” katanya.


Leave feedback about this