Tempatan Utama

Ketua Menteri Sampaikan Watikah Pelantikan Kepada Zainudin

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor hari ini menyampaikan watikah pelantikan kepada Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah yang baharu.

Zainudin, yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, akan secara rasmi mengambil alih tugas daripada Safar Untong pada 29 Jun ini.

Hajiji berkata beliau yakin pelantikan Zainudin mampu memastikan perkhidmatan awam negeri terus progresif dan berdaya saing dalam memacu transformasi pentadbiran Sabah ke arah kemajuan serta kecemerlangan berterusan.

Menurutnya, langkah itu juga akan memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kemakmuran rakyat dan pembangunan negeri.

Safar yang akan bersara pada 28 Jun pula dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd.

Sementara itu, Datuk Norlijah Danin yang kini menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) akan menggantikan Zainudin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

Leave feedback about this

  • Rating