Tempatan Utama

Ketua Menteri arah keutamaan pelaksanaan projek keperluan mendesak

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Noor mahu keutamaan diberikan kepada projek-projek segera yang boleh dilaksanakan serta-merta dan memberi manfaat cepat kepada rakyat, khususnya dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Berdasarkan laporan MyProjek, beliau berkata Sabah menerima peruntukan sebanyak RM6.59 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), melibatkan 1,233 projek atau program, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan memastikan negeri ini terus maju selaras aspirasi Kerajaan MADANI dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Beliau menegaskan pemantauan projek pembangunan perlu dilaksanakan dengan lebih kerap bagi mengelakkan kelewatan. Isu pelaksanaan juga perlu diteliti dan dirujuk kepada saluran sewajarnya, khususnya apabila melibatkan pembiayaan, tanah dan utiliti.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan pelaksanaan segera projek berskala kecil atau “low-hanging fruit” yang mampu memberi impak pantas kepada rakyat.

Hajiji berkata projek kecil berimpak tinggi itu mesti dilaksanakan secara cekap, mengikut jadual dan berintegriti, selain tidak boleh mengalami kelewatan atau menjadi projek ‘sakit’ akibat isu tempatan seperti pemilikan tanah dan utiliti.

 

Dalam pada itu, beliau berkata Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Sabah 2026 merupakan kesinambungan agenda pembangunan negeri di bawah SMJ, dengan pelancaran SMJ 2.0 (2026–2030) yang memberi fokus kepada pembasmian kemiskinan.

 

Dengan peruntukan belanjawan negeri sebanyak RM12.02 bilion bagi tahun 2026, katanya, sebahagian besar dana disalurkan kepada pembangunan infrastruktur asas termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya bagi merangsang ekonomi di semua daerah.

Tambah beliau, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memperkukuh jaringan keselamatan sosial, termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR).

 

Hajiji menegaskan kerajaan negeri memandang serius kelewatan projek kerana ia boleh meningkatkan kos dan menyebabkan kerugian, justeru semua pihak diminta terus komited memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, khususnya projek “low-hanging fruit” yang memberi manfaat segera kepada rakyat Sabah.

Leave feedback about this

  • Rating