
KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) memohon agar kerajaan menyemak semula had kuota subsidi diesel sebanyak 200 liter sebulan di bawah Program BUDI MADANI bagi memastikan keperluan warga pendidik di negeri ini dapat dipenuhi.
Presiden KGKS, Murkam Hussien berkata, semakan itu wajar dipertimbangkan memandangkan ramai guru di Sabah menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau kenderaan berkuasa diesel untuk berulang-alik ke sekolah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurut beliau, had kuota 200 liter sebulan dilihat tidak mencukupi bagi menampung penggunaan sebenar guru yang perlu menempuh perjalanan jauh setiap hari.
“Anggota KGKS berpendapat pengehadan kuota subsidi diesel akan memberi kesan kepada guru-guru yang bertugas di luar bandar. Justeru, kami memohon kerajaan menyemak semula had kuota 200 liter sebulan kerana ia tidak mencukupi untuk keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Murkam berkata, pelaksanaan Program BUDI MADANI sewajarnya mengambil kira faktor geografi Sabah, termasuk jarak perjalanan yang jauh, kebergantungan kepada kenderaan diesel serta cabaran infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang peningkatan kos diesel akan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup warga pendidik, khususnya mereka yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Sehubungan itu, KGKS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semakan semula kuota subsidi diesel agar kebajikan guru di Sabah terus terpelihara.


Leave feedback about this