
Kerajaan Sabah selaras penghantaran pulang tiga jenazah mangsa disambar petir
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang menyelaraskan urusan penghantaran pulang tiga jenazah lelaki berasal dari Semporna yang maut selepas disambar petir di Sepang, Selangor, petang tadi.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, urusan membawa pulang ketiga-tiga jenazah itu diselaraskan menerusi Pejabat Perhubungan Negeri Sabah Kuala Lumpur (PPNSKL).
Menurutnya, proses penghantaran pulang akan dilaksanakan selepas semua prosedur berkaitan selesai.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi PPNSKL bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung urusan membawa pulang jenazah mangsa ke Sabah susulan kejadian menyayat hati itu.
“PPNSKL memaklumkan bahawa urusan membawa pulang ketiga-tiga jenazah ke Sabah sedang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri melalui PPNSKL, setelah semua prosedur berkaitan diselesaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul turut menyampaikan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa serta berharap segala urusan pengurusan dan penghantaran pulang jenazah dipermudahkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Sahrif, 26, adiknya, Mohamad Ahzam Marusin, 16, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18.
Ketiga-tiga mangsa dipercayai berteduh di bawah pokok selepas selesai membaiki sebuah kenderaan sebelum disambar petir ketika hujan lebat.
Mereka disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, untuk tindakan lanjut.


Leave feedback about this