Tempatan Utama

Penduduk Kampung Pondo rayu DBKK tangguh perobohan rumah

Penduduk Kampung Pondo rayu DBKK tangguh perobohan rumah, bimbang SPM anak terjejas

KOTA KINABALU: Penduduk Kampung Pondo, Pulau Gaya merayu supaya pihak berkuasa menangguhkan rancangan perpindahan dan perobohan kediaman mereka bagi memberi ruang kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penduduk berkata, mereka bukan berniat menentang kerajaan negeri atau Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), sebaliknya hanya memohon pertimbangan dan sedikit masa sebelum sebarang tindakan dilaksanakan.

Menurut jurucakap penduduk, perpindahan dalam tempoh terdekat dikhuatiri mengganggu persediaan anak-anak yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan penting itu.

“Kami bukan melawan kerajaan dalam isu perpindahan Kampung Pondo, Pulau Gaya, terutama Datuk Bandar Kota Kinabalu atau kerajaan negeri Sabah.

“Tetapi fahamlah, dalam tempoh terdekat anak-anak kami akan menghadapi SPM. Sudah tentu perpindahan ini akan mengganggu persediaan mereka menghadapi peperiksaan,” katanya.

Selain isu pendidikan, penduduk turut membangkitkan kebimbangan mengenai sumber pendapatan sekiranya mereka dipindahkan ke Telipok yang terletak jauh dari kawasan mereka mencari rezeki.

Katanya, kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan dan bergantung kepada kawasan perairan sekitar Pulau Gaya untuk meneruskan kehidupan.

“Kalau dipindahkan ke Telipok, bagaimana kami mahu meneruskan pekerjaan?

“Kalau pun kami perlu berpindah, carilah kawasan berhampiran Pulau Gaya yang mempunyai sekolah dan membolehkan kami terus mencari rezeki,” katanya.

Penduduk menegaskan rumah yang didiami bukan sekadar tempat berteduh, malah menjadi tempat mereka membesarkan anak-anak serta membina kehidupan keluarga.

Sehubungan itu, mereka berharap DBKK dan kerajaan negeri tidak melaksanakan perobohan secara tergesa-gesa tanpa mengambil kira kesan terhadap pendidikan anak-anak serta kelangsungan hidup keluarga nelayan.

Mereka turut berharap satu perbincangan diadakan bagi mencari penyelesaian terbaik, termasuk mempertimbangkan penempatan alternatif yang lebih sesuai dan tidak terlalu jauh daripada kawasan pekerjaan serta kemudahan pendidikan.

Bagi penduduk Kampung Pondo, permintaan mereka cukup sederhana iaitu diberikan masa dan pertimbangan sewajarnya sebelum sebarang tindakan perpindahan dan perobohan dilaksanakan.

Leave feedback about this

  • Rating