
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) digesa meneliti cadangan pembinaan Rumah Mesra SMJ secara bertingkat, khususnya di kawasan berkepadatan tinggi seperti Petagas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Awang Ahmad Sah Sahari berkata, pendekatan berkonsepkan high-rise itu dilihat lebih praktikal sebagai penyelesaian jangka panjang bagi isu kekurangan tanah di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Menurutnya, cadangan tersebut mampu memastikan peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara optimum tanpa bergantung kepada ketersediaan lot tanah individu.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, pada Selasa.
Dalam pada itu, Awang turut mencadangkan agar potensi pembangunan di tapak seperti Lok Kawi dan Papason dikaji semula, termasuk menilai jumlah unit Rumah Mesra SMJ yang boleh dibina.
Katanya, kawasan berkenaan telah melalui proses penimbusan yang terancang, sekali gus membuka ruang untuk pembangunan yang lebih efisien dan berskala besar.
“Dengan perancangan yang rapi, kita boleh memaksimumkan penggunaan ruang sedia ada agar lebih ramai keluarga yang layak dapat menikmati kemudahan perumahan ini dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keutamaan adalah memastikan setiap peruntukan kerajaan sampai kepada golongan sasaran secara berkesan, khususnya pasangan muda dan mereka yang memerlukan.
Tambahnya, kerjasama serta kepakaran teknikal KPLB amat penting dalam merangka penyelesaian terbaik yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Awang turut menyatakan kesediaannya untuk berbincang lanjut dengan pihak kementerian bagi memperhalusi cadangan berkenaan demi kesejahteraan penduduk di DUN Petagas dan Sabah secara keseluruhan.


Leave feedback about this