Tempatan Utama

Kerajaan Persekutuan Komited Bawa Pembangunan ke Pedalaman Sabah

SSML Bukti Komitmen Kerajaan Persekutuan Bangunkan Pedalaman Sabah

SIPITANG: Pelaksanaan projek Sabah Southern MADANI Link (SSML) membuktikan komitmen kerajaan Persekutuan dalam memastikan pembangunan dan kemudahan asas dapat dinikmati rakyat hingga ke kawasan pedalaman Sabah.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, projek grid tenaga elektrik itu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan adil dan saksama tanpa meminggirkan kawasan luar bandar.

Menurut beliau, projek SSML yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah melalui talian transmisi 275 kilovolt (kV) akan memperkukuh sistem grid elektrik negeri serta memastikan agihan tenaga yang lebih stabil.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan di Sipitang, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Projek bernilai RM198 juta itu dijadualkan siap pada September 2028 dan kini telah mencapai kemajuan 17 peratus setakat 26 Mei lalu.

Anwar turut menegaskan bahawa pelaksanaan SSML bukan sahaja meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Sabah, malah bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan serta menyokong usaha merealisasikan rangkaian tenaga serantau menerusi ASEAN Power Grid.

Beliau turut mempertahankan peruntukan pembangunan yang besar untuk Sabah dan Sarawak, dengan menegaskan bahawa jurang infrastruktur di kedua-dua negeri perlu terus diberi perhatian demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara secara menyeluruh.

Sumber BERNAMA

Leave feedback about this

  • Rating