Tempatan Utama

Kerajaan Persekutuan Berjaya Tangguh Semakan Semula Pemberian Khas Sabah

PUTRAJAYA, 6 April (Bernama) — Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama Datuk Ismail Ibrahim dan K. Muniandy, membenarkan penangguhan sementara menunggu penyelesaian rayuan.
“Kami berpuas hati bahawa keadaan khas telah diwujudkan. Pemohon (Kerajaan Persekutuan) akan mengalami prejudis sekiranya penangguhan ditolak, dan rayuan itu boleh dianggap tidak berguna.
“Sehubungan dengan itu, kami membenarkan permohonan berkenaan dan memberikan penangguhan pelaksanaan mengikut usul pemohon,” katanya.
Pada 17 Okt tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan dari 1974 hingga 2021.
Mahkamah Tinggi turut mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah menyemak semula kadar pemberian khas itu dalam tempoh 90 hari serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari.
Hakim Mohamed Zaini berkata, kebimbangan utama pemohon adalah tempoh masa yang ketat selain skop semakan yang kompleks melibatkan data kewangan dan rekod sejarah selama 47 tahun.
“Tempoh masa yang ditetapkan mungkin tidak memberikan peluang secukupnya kepada pihak-pihak untuk menentukan jumlah sebenar yang perlu dibayar.
“Bayaran yang diperintahkan adalah dalam jumlah yang besar sehingga pelaksanaannya sebelum keputusan rayuan akan mewujudkan keadaan fait accompli,” katanya.
Beliau berkata, perintah Mahkamah Tinggi juga dilihat tidak selaras dengan rangka kerja Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, khususnya dari segi mekanisme penyelesaian pertikaian.
“Sebagai contoh, sekiranya berlaku perselisihan faham, perkara itu harus dirujuk kepada penilai bebas. Pemohon jelas akan diprejudiskan sekiranya dipaksa mematuhi perintah mahkamah tanpa peluang untuk membentangkan kes mereka dalam rayuan,” katanya.
Beliau menambah, pemohon telah mengesahkan tidak berniat melengahkan prosiding dan telah mengambil langkah untuk mempercepatkan pendengaran rayuan.

— BERNAMA

Leave feedback about this

  • Rating