Tempatan Utama

Kerajaan Negeri beri peruntukan RM11.6 juta kepada YUM tahun ini

TUARAN: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM11.6 juta kepada  Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini bagi meneruskan Program Kredit Mikro yang  bertujuan memperkasakan usahawan tempatan, khususnya golongan wanita  berpendapatan rendah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri  komited membantu YUM melaksanakan peranannya dengan menyediakan dana yang  mencukupi bagi membolehkan agensi itu terus beroperasi dan menawarkan  perkhidmatan pinjaman kepada ahlinya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, katanya YUM turut menerima peruntukan geran  sebanyak RM10 juta bagi modal pusingan pinjaman, selain geran perbekalan tahunan  daripada kerajaan untuk menampung sebahagian kos operasi program pinjamannya.

Berucap sempena Hari Keluarga YUM Tuaran di Dewan Sri Sulaman hari ini, Ketua  Menteri berharap agar para peminjam YUM dapat melunaskan pinjaman mereka tepat  pada masanya supaya lebih ramai lagi dapat menikmati manfaat daripada program  tersebut.

“Kejayaan peminjam dalam memanfaatkan pinjaman YUM dengan baik bukan sahaja  dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka, malah membolehkan agensi ini  meluaskan usaha membantu lebih ramai rakyat meningkatkan taraf hidup kerana  mempunyai modal pusingan pinjaman yang mencukupi.

“Dalam masa yang sama, ahli-ahli YUM juga hendaklah sentiasa meningkatkan  kemahiran perniagaan mereka dengan menyertai bengkel, kursus dan latihan yang  disediakan termasuk oleh agensi lain, berinovasi dan menggunakan teknologi terkini  serta meluaskan pasaran perniagaan masing-masing,” katanya.

YUM merupakan sebuah badan amanah negeri di bawah Kementerian Kewangan  Negeri yang menyediakan perkhidmatan kredit mikro bagi membantu isi rumah termiskin  keluar daripada kemiskinan melalui modal pinjaman untuk menjalankan aktiviti menjana  pendapatan.

“Sejak penubuhannya pada tahun 1995, Yayasan Usaha Maju telah menjadi salah satu  agensi paling penting dalam memperkasakan ekonomi rakyat di peringkat akar umbi,  khususnya dalam komuniti luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Ketua Menteri berkata YUM telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM805.25 juta  melibatkan 152,021 unit pinjaman kepada 47,389 peminjam, dengan 18,888 ahli masih  mempunyai pinjaman aktif.

“Prestasi bayaran balik pinjaman juga amat membanggakan dengan kadar bayaran  balik kumulatif melebihi 96 peratus. Ini menunjukkan bahawa peminjam yang  kesemuanya wanita merupakan pembayar yang baik atau good paymaster,” ujarnya.

Sementara itu, hampir 20 peratus daripada peminjam YUM yang sebelum ini berada di  bawah paras garis kemiskinan telah berjaya memperoleh pendapatan bulanan melepasi  garis tersebut.

“Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan membuktikan bahawa program  pinjaman YUM mampu meningkatkan pendapatan serta membantu rakyat keluar  daripada kemiskinan,” katanya.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh warga kerja YUM atas pencapaian  ini, begitu juga kepada semua ahlinya yang telah memanfaatkan perkhidmatan kredit  mikro ini dengan sebaiknya.

“Saya berharap Yayasan Usaha Maju akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang  tahun ini,” katanya.

Leave feedback about this

  • Rating