Tempatan Utama

Kerajaan Laksana Projek Naik Taraf Jalan Atasi Kesesakan di Ranau, Kundasang

Kerajaan Laksana Projek Naik Taraf Jalan Atasi Kesesakan di Ranau, Kundasang

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melaksanakan beberapa projek menaik taraf jalan sebagai langkah jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Pekan Ranau dan Kundasang, terutama pada hujung minggu, musim cuti sekolah serta musim perayaan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, antara projek utama ialah Projek Naik Taraf Jalan Kampung Mohimboyon–Lipantai–Pahu Ranau sepanjang enam kilometer yang kini sedang dalam pembinaan.

Beliau berkata, projek berstatus reka dan bina itu dijangka siap pada 2027 dengan kemajuan fizikal semasa mencapai 69.7 peratus.

“Apabila siap, laluan ini akan menjadi jalan alternatif yang dapat mengurangkan kebergantungan kepada laluan utama sekali gus membantu mengagihkan aliran trafik antara Pekan Ranau dan Kundasang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Rusdin Riman (KDM-Paginatan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan Projek Naik Taraf Jalan Tambiau–Sarapong, Ranau sepanjang 4.05 kilometer yang dijangka siap pada 2028. Projek berkenaan kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 5.42 peratus.

Joachim berkata, kerajaan juga merancang pembinaan beberapa lorong memotong dan lorong mendaki di lokasi strategik bagi melancarkan aliran trafik serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

Menurut beliau, di bawah Program Pengurusan Trafik Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, sebanyak 10 cadangan pembinaan lorong memotong dan lorong mendaki telah dikemukakan untuk pertimbangan pelaksanaan.

Bagi 2025, kerajaan memperuntukkan RM2.3 juta untuk projek di tiga lokasi di Jalan Kota Kinabalu–Sandakan, manakala tahun ini sebanyak RM560,000 diperuntukkan bagi satu lagi lokasi di laluan yang sama.

Sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan turut meluluskan pembinaan Jalan Ranau Bypass dari Bundu Tuhan ke Kilimu Ranau serta projek menaik taraf Jalan Kampung Mesilau–Kampung Lipasu melibatkan jalan gravel sepanjang lapan kilometer kepada jalan berturap di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Leave feedback about this

  • Rating