Tempatan Utama

Kenderaan Diserang di Jesselton Quay, Lima Lelaki Ditahan

KOTA KINABALU: Lima lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah susulan kejadian agresif terhadap sebuah kenderaan berhampiran Jesselton Quay, di sini.

Kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu melibatkan seorang guru berusia 30 tahun yang dipercayai berdepan provokasi sebelum keadaan menjadi tegang. Mangsa kemudian mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain.

Susulan itu, beberapa individu dipercayai mengejar mangsa sebelum bertindak memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang kenderaan berkenaan. Mangsa turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.35 petang pada hari sama.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan lima lelaki tempatan pada malam sama bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.

Polis memandang serius kejadian berkenaan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.

Leave feedback about this

  • Rating