Tempatan Utama

Keganasan Rumah Tangga di Sabah Masih Membimbangkan- Rina

TAWAU: Sebanyak 531 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Sabah setakat ini, dengan lebih 50 kes dilaporkan di daerah Tawau, sekali gus menunjukkan isu berkenaan masih membimbangkan dan memerlukan kerjasama semua pihak.

Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal, berkata jumlah itu hanya membabitkan kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa, manakala dipercayai masih banyak kes tidak didedahkan oleh mangsa.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Advokasi @KRT Prismanita & Aku Wanita @KRT Peringkat Negeri Sabah 2026 di Tawau, yang berjaya menghimpunkan kira-kira 700 peserta, melebihi sasaran asal 400 peserta.

Menurutnya, kerajaan turut memperkenalkan bantuan kewangan kepada mangsa keganasan rumah tangga bagi membantu mereka keluar daripada persekitaran yang tidak selamat, selain menyediakan khidmat kaunseling, bantuan psikososial, nasihat dan intervensi melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

Rina turut mengingatkan bahawa keganasan rumah tangga bukan hanya melibatkan penderaan fizikal, malah keganasan emosi dan mental juga boleh memberi kesan serius terhadap kesejahteraan mangsa.

Beliau berharap program advokasi akan terus diperluaskan di seluruh Sabah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dan menggalakkan lebih ramai mangsa tampil mendapatkan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating