
Peniaga Kecil Sulaman Terima Bantuan Tunai RM3,000 Seorang – Hajiji
TUARAN: Penjaja dan peniaga kecil yang menjalankan perniagaan di tepi jalan sekitar kawasan Sulaman akan menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM3,000 seorang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman berkata, beliau telah mengarahkan Pegawai Daerah Tuaran supaya menyenaraikan semua peniaga kecil yang layak bagi membolehkan bantuan itu disalurkan dalam masa terdekat.
Katanya, bantuan berkenaan adalah sebagai memenuhi janji beliau kepada peniaga kecil yang memerlukan sokongan kewangan untuk meneruskan perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Usahawan dan STEM X Challenge sempena Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Pusat Kebudayaan Bajau Sama Sabah, Lok Batik, malam tadi.
Dalam pada itu, Hajiji menyifatkan penganjuran karnival berkenaan sebagai platform penting untuk membantu usahawan kecil, khususnya golongan belia, mengembangkan perniagaan serta mendorong lebih ramai menceburi bidang keusahawanan.
Menurutnya, kerajaan turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada usahawan muda bagi membantu mereka berjaya menjana pendapatan melalui perniagaan.
Beliau turut menegaskan kepentingan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu memacu pembangunan negara.
Katanya, program STEM X Challenge yang diinspirasikan daripada Piala Dunia FIFA 2026 membawa mesej bahawa nilai disiplin, strategi, kerja berpasukan dan semangat juang dalam sukan turut menjadi asas kejayaan dalam bidang pendidikan, inovasi dan keusahawanan.


Leave feedback about this