Tempatan Utama

Kanak-kanak 12 Tahun Maut Disyaki Dibaham Buaya di Sungai Tagupi Darat

LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai dibaham seekor buaya ketika berada di Sungai Tagupi Darat, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dipercayai diserang reptilia berkenaan ketika berada di kawasan sungai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 12.06 tengah hari sebelum menggerakkan sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera ke lokasi yang terletak kira-kira 140 kilometer dari balai.

Menurutnya, ketika pasukan bomba dalam perjalanan, pihak polis telah terlebih dahulu berjaya menemukan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan kecederaan pada bahagian kaki kiri dan pinggang belakang yang dipercayai akibat serangan buaya,” katanya.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi adalah selamat.

Sumber Utusan Borneo

Leave feedback about this

  • Rating