
KUALA LUMPUR: Seorang penumpang berkongsi detik cemas apabila pesawat dinaiki dari Kuala Lumpur menuju ke Sandakan dilaporkan mengalami masalah teknikal selepas salah satu enjin di bahagian sayap kanan dipercayai meletup dan mengeluarkan api, Ahad lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook, wanita dikenali sebagai Hajah Tuti berkata, kejadian berlaku kira-kira 25 minit selepas pesawat berlepas sehingga mencetuskan suasana panik dalam kalangan penumpang.
Menurutnya, sepanjang kejadian itu mereka tidak berhenti mengucap syahadat kerana menyangka ajal sudah semakin hampir.
“Kalau tadi ajal kami sudah sampai, mungkin pagi tadi akan heboh berita pesawat dari Kuala Lumpur ke Sandakan terhempas akibat masalah teknikal dan yang tinggal hanyalah nama dengan gambar kami untuk dikenang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur apabila juruterbang berjaya mengawal keadaan sebelum membawa pesawat berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada juruterbang serta kru kabin yang berusaha menenangkan penumpang walaupun berdepan situasi mencemaskan.
“Terima kasih pilot dan pramugara serta pramugari yang cuba tenangkan kami walaupun mereka sendiri cemas,” katanya.
Perkongsian mengenai pengalaman ngeri penerbangan AK5192 pada 17 Mei 2026 itu mendapat perhatian ramai di media sosial dengan rata-rata netizen meluahkan rasa syukur semua penumpang selamat.


Leave feedback about this