
LAHAD DATU: Seramai 112 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dipindahkan pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.
Program pemindahan itu melibatkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui Pelabuhan Lahad Datu menuju ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.
Daripada jumlah itu, seramai 63 lelaki dewasa, 34 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun.
Kanak-kanak yang terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses pemindahan dijalankan.
JIM Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sehingga kini seramai 1,947 warga Filipina sudah dipindahkan pulang daripada keseluruhan 3,085 tahanan PATI warga asing yang direkodkan.
Menurut kenyataan itu, semua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah bagi melayakkan mereka dihantar pulang ke negara asal.
Dalam masa sama, majikan di Sabah disaran menyertai Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) bagi mengurus serta merekod keberadaan pekerja asing di negeri ini.
JIM Sabah turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.


Leave feedback about this