Tempatan Utama

JHEAINS Siasat Program Dikaitkan Dengan Ahmadiyah Qadiani

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha menyebarkan ajaran yang telah difatwakan sebagai salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fahaman yang bercanggah dengan akidah Islam.

Menurut beliau, susulan aduan awam yang diterima, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS telah menjalankan satu operasi pada 31 Mei lalu di dewan sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu.

Katanya, operasi itu dijalankan bagi memeriksa Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 yang dikendalikan oleh Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM), yang dikaitkan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.

“Seramai 52 Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS telah diarahkan untuk melaksanakan operasi tersebut dengan bantuan 25 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil operasi mendapati program berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei dan dianggarkan dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh Sabah.

Selain itu, pelbagai bahan penerbitan, dokumen serta bahan promosi berkaitan ajaran Ahmadiyah Qadiani didapati dipamerkan sepanjang program tersebut berlangsung.

“Kesemua bahan berkaitan telah diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Dr. Mohd. Arifin menjelaskan bahawa ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada tahun 2006 sebelum diwartakan pada tahun 2007.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Sabah, khususnya IPD Kota Kinabalu, atas kerjasama yang diberikan sepanjang operasi berkenaan.

“Kerjasama erat antara JHEAINS dan PDRM amat penting dalam memastikan kawalan keselamatan semasa operasi berjalan lancar serta membantu membanteras penyebaran ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui JHEAINS akan terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara.

Katanya, langkah itu juga penting bagi menjamin keharmonian masyarakat serta memastikan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam tidak terus berkembang dalam kalangan umat Islam di Sabah.

“Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan tanggungjawab ini secara berterusan demi memelihara kesejahteraan umat Islam dan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.

Sumber Warta oriental

Leave feedback about this

  • Rating