Tempatan Utama

Jamawi, Ruji, Yamani Dilantik Ahli Biro Politik MPN PKR Sabah

PKR Sabah Perkukuh Kepimpinan, Lantik Tiga Ahli Baharu Biro Politik

KOTA KINABALU: Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat Sabah memperkukuhkan struktur organisasinya dengan melantik Datuk Jamawi Jaafar, Datuk Ruji Ubi dan Datuk Yamani Hafez Musa sebagai Ahli Biro Politik (Biropol) MPN Sabah yang baharu.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Farid Sainuri berkata, pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuhkan organisasi parti bagi memastikan kesiapsiagaan jentera serta meningkatkan keberkesanan gerak kerja politik dan organisasi menjelang cabaran politik akan datang.

Menurutnya, ketiga-tiga pemimpin berkenaan diyakini mampu memperkukuhkan fungsi Biro Politik dalam memberikan pandangan strategik serta membantu memperkemas hala tuju parti di Sabah.

Dalam perkembangan sama, Patrict Sulaiman diamanahkan sebagai Ketua Cabang Tuaran yang baharu, manakala Arastam Pandorog dilantik memimpin Cabang Semporna.

Sementara itu, Ketua Cabang Tawau, Fung Thien Yin turut dilantik sebagai Naib Pengerusi MPN III bagi mewakili Zon Tawau.

Farid berkata, pelantikan berkenaan bertujuan memperkukuhkan representasi kepimpinan mengikut zon serta memastikan suara dan keperluan akar umbi, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah, terus diberikan perhatian sewajarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PKR Sabah komited membantu gerak kerja parti menjelang pilihan raya negeri yang bakal berlangsung di Johor dan Negeri Sembilan dengan menghantar pasukan sukarelawan bagi menyokong kempen serta jentera pilihan raya di kedua-dua negeri itu.

Menurutnya, semangat kesatuan, disiplin organisasi dan kesediaan anggota untuk berkhidmat di mana sahaja diperlukan akan terus menjadi asas perjuangan parti dalam memperjuangkan agenda reformasi serta kebajikan rakyat.

Leave feedback about this

  • Rating