
KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin menghargai peruntukan RM174.45 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bagi 2026, termasuk RM135.75 juta untuk Perbekalan dan RM38.70 juta untuk Pembangunan.
Beliau berkata, peruntukan itu membolehkan kementerian melaksanakan pelbagai inisiatif strategik yang menyokong pemulihan dan pertumbuhan jangka panjang industri pelancongan serta pengukuhan budaya dan kelestarian alam sekitar.
“KePKAS sambut baik fokus kerajaan terhadap penganjuran program dan acara berimpak tinggi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, termasuk Festival Budaya dan Alam Semula Jadi, promosi Pelancongan Berasaskan Komuniti serta pengukuhan kempen pemasaran digital antarabangsa.
“Usaha ini dijangka meningkatkan kedatangan pelancong ke Sabah secara signifikan.
“Saya turut menyokong penuh perancangan Tahun Melawat Sabah 2027, yang akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan memastikan kesinambungan momentum pertumbuhan sektor ini,” katanya dalam kenyataan, di sini kelmarin.
Beliau berkata, melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), projek-projek pelancongan utama seperti pembinaan Muzium Baharu Sabah, KK Performing Arts Centre (KKPAC), Arte Museum, Galeri Marin di Taman Tun Mustapha serta peningkatan kemudahan pelancongan di Bohey Dulang, Semporna, adalah antara pelaburan penting yang bakal memberi nilai tambah kepada pengalaman pelancong.
Beliau turut menyambut baik peruntukan khusus kepada Jabatan Muzium Sabah, termasuk RM6.7 juta bagi kerja pemuliharaan dan pembaikan bangunan muzium serta RM18.97 juta bagi perbelanjaan pengurusan.
“Ini membolehkan khazanah budaya negeri dipelihara dengan lebih sistematik dan profesional.
“Inisiatif Pemetaan Budaya Etnik Sabah 2026–2030 pula akan memperkukuh dokumentasi identiti budaya dan etnik Sabah sebagai rujukan penting generasi kini dan akan datang, satu langkah penting dalam memastikan warisan kita terus terpelihara,” katanya.
Katanya, belanjawan itu tidak hanya menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar, tetapi turut menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan mampan dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Beliau yakin, dengan pelaksanaan yang efektif dan kerjasama semua pihak, sektor ini akan terus berkembang pesat dan memberikan manfaat besar kepada ekonomi negeri.
“Limpahan ekonomi yang dijana menerusi peningkatan pelancongan, pengukuhan warisan budaya dan pembangunan ekonomi hijau pastinya akan dirasai secara langsung oleh rakyat daripada komuniti luar bandar, pengusaha kecil, sehinggalah kepada pemain industri di seluruh Sabah,” katanya.
Utusan Borneo


Leave feedback about this