
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengecam kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dikemukakan semula.
Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, kenyataan itu tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif selain menunjukkan kegagalan memahami realiti sejarah, prinsip undang-undang antarabangsa serta kedaulatan Malaysia yang diiktiraf dunia.
Menurutnya, Sabah adalah wilayah berdaulat dalam Malaysia yang terbentuk berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kedudukan ini diperkukuh melalui kehendak rakyat Sabah sendiri yang secara sah dan demokratik memilih untuk bersama dalam Persekutuan Malaysia.
“Sebarang cubaan untuk mempertikaikan perkara ini adalah tidak relevan, tidak berasas dan perlu ditolak sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia mendapat pengiktirafan antarabangsa dan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
“Usaha menghidupkan semula tuntutan berkenaan termasuk cadangan rundingan berkaitan wilayah atau hasil bumi hanya retorik bermotifkan kepentingan politik sempit.
“Situasi ini lebih membimbangkan apabila kenyataan berkenaan timbul ketika dunia berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada wujud agenda tersembunyi untuk mengeksploitasi kekayaan sumber asli Sabah termasuk minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika malah mencabar kedaulatan negara secara terbuka.
Sehubungan itu katanya, Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk tuntutan terhadap Sabah dalam apa jua cara sama ada melalui tekanan politik mahupun diplomatik.
Dalam masa sama, beliau menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam mempertahankan hak serta kedaulatan Sabah daripada sebarang ancaman luar.
Katanya, Wanita Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kedaulatan Sabah terus dipertahankan tanpa kompromi.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah agar terus bersatu dan berpendirian tegas dalam menolak sebarang cubaan pihak luar yang mencabar kedaulatan negeri ini.
“Sabah bukan untuk dipertikaikan. Sabah adalah milik Malaysia,” katanya.
Sumber UtusanBorneo


Leave feedback about this