Tempatan Utama

Imigresen Sabah Terus Perhebat Operasi, 44 PATI Ditahan di Sandakan

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan menerusi Ops Sapu yang dijalankan di sekitar daerah Sandakan pada 27 Jun 2026.

Operasi yang disertai 13 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Sandakan itu memeriksa seramai 84 individu sebelum menahan 44 warga Filipina yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa, 11 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 12 kanak-kanak perempuan.

Menurut JIM Sabah, kesemua individu terbabit dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan terhadap PATI akan terus dipergiat dan tindakan tegas turut akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin.

Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa mengenai kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan serta menjaga keselamatan negara.

Leave feedback about this

  • Rating